Jika masih ada yang berfikiran wanita hanya tahu menghayun buaian, memasak dan mengemas rumah sahaja, maka mereka silap. Terdahulu kita telah disajikan dengan kisah inspirasi seorang sanita muda berusia 20 tahun yang mahir membaiki kenderaan. Kali ini, seorang wanita gagah dari India pula berjaya menarik perhatian ramai orang terutamanya lelaki apabila dia mampu mengambil tayar trak yang berat itu seorang diri untuk membaikinya.
20 tahun lalu, Shanti dan suaminya Ram tiba di Delhi dari Madhya Pradesh. Suaminya telah melakukan banyak pekerjaan untuk menyara keluarga, daripada menarik beca sehingga berkebun, namun pendapatannya tetap tidak mencukupi. Akhirnya, Shanti dan Ram membuka sebuah kedai minum di Sanjay Gandhi Transport Nagar (SGTN).
Ternyata biarpun hanya sebuah kedai kecil tetapi pendapatan mereka agak lumayan. SGTN mampu menerima kemasukan 70,000 trak dalam satu-satu masa dan lebih 20,000 trak akan melaluinya setiap hari. Jadi, tidak hairanlah jika pasangan ini mendapat pendapatan yang lumayan hasil daripada menjual air.
Suatu hari, pasangan ini memutuskan untuk mengembangkan perkhidmatan mereka dan membuka sebuah bengkel untuk membaiki beribu trak setiap hari. Bengkel mereka merupakan satu perniagaan segera.
Shanti memang terkenal dengan sikapnya yang cepat belajar. Dia memerhatikan suaminya dan mekanik lain melakukan kerja membaiki trak-trak besar di mana akhirnya dia dapat menguasai kemahiran tersebut. Dilahirkan sebagai seorang yang kuat bekerja, Shanti kini merupakan salah seorang mekanik terbaik di bengkel mereka.
Ibu kepada lapan orang cahaya mata ini mampu membaiki tayar trak yang pancit dengan mudahnya semudah melakukan kerja-kerja rumah yang lain. Suaminya tidak melarang malah memberi sokongan terhadap bantuan yang dihulurkan oleh Shanti di bengkel tersebut.
Bekerja untuk keluarga bukanlah tugasan baru buat Shanti. Dia dilahirkan dalam keluarga miskin yang mana ayahnya bekerja di kedai barang kemas manakala ibunya melakukan kerja yang luar biasa.
Shanti terpaksa mengambil alih tugas-tugas rumah di samping menjaga adik lelaki dan adik perempuan. Dia juga terpaksa berhenti belajar untuk memberi peluang kepada adik beradiknya dan sentiasa mendorong mereka untuk terus menumpukan perhatian dalam pelajaran supaya mereka dapat merealisasikan impian yang dia hanya mampu impikan.
Menurut Shanti kepada Gulf News, sangat bagus jika dapat menguasai kemahiran tertentu. Dia berasa bersyukur kerana dia dapat menggunakan semua peluang yang diberikan.
Sekarang, adik lelakinya telah berjaya dan bekerja sebagai seoarang peguam. Shanti seorang yang menyokong pelajaran dan percaya setiap wanita mesti belajar kemahiran untuk hidup berdikari.
Katanya kepada Gulf News lagi, “Hidup telah mengajar saya untuk tidak duduk dan berhadapan dengan apa jua keadaan. Lagipun, saya bekerja keras untuk memperbaikinya.” Shanti juga mengatakan hidup adalah proses pembelajaran yang berterusan dan setiap orang akan berjaya mengikut bagaimana cara dia mendapatkan kejayaan.
Semoga paparan kisah inspirasi ini akan membuka mata anda. Tidak ada kejayaan yang akan datang bergolek sekiranya tidak disertai dengan usaha yang sungguh-sungguh.
Sumber: NTD TV




